SSI:Sesudah Sedekad Intesaber

Semakin ramai wajah yang saya tidak kenali. Bilik ketua bidang terasa kehilangan beberapa insan. Kunjungan 1 malam saya tidak mengecewakan bahkan terisi dengan ‘kejutan’. Tingkatan 1 sudah berani mengendalikan program, Tingkatan 5 masih terkesan dengan tazkirah ‘lidi’ saya.

Catatan Sabak Bernam
1) Melaksanakan kerja membersihkan dorm dan surau As-Syakirin yang satu itu ialah tarbiah berterusan. Sebagai pewaris budaya ilmu hendaklah sentiasa istiqamah menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Saya merasai suasana surau tanpa pembersih hampagas, hanya penyapu lidi dan kawan yang mengerti berusaha membersihkan karpet lama itu. Kalian wajib mensyukuri nikmat surau berwajah baru dengan sentiasa menjadikannya kemas dan bersih selayaknya tempat sujud kita 5 kali sehari!

2) Batch saya sangat diingati sahabat-sahabat Tingkatan 5 kini.

Manakala saya diingati kerana mendenda mereka (ketika di Tingkatan 1) kerana gagal melaksanakan tugasan membersihkan surau. Aduhai junior!

3) Satu perkara yang sangat menyentuh hati, ialah kesempatan menyantuni para makcik cleaner, makcik dobi dan pak guard. Perangai pewaris budaya ilmu yang wajib ada ialah menghormati orang di sekeliling anda tanpa mengira besar kecil peranannya!

4) Terima kasih cikgu Abdul Rashid atas sembang yang panjang lebar mengenai Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang mudah benar disalah faham kebanyakan orang.

Ini perjuangan nafas panjang pendidik untuk mengislahkan sistem pendidikan kita, setelah berpuluh tahun kita mengkotak-kotakkan akademik dan kokurikulum yang memakan korban potensi murid. Saya turut mencatatkan buah fikir saya mengenai proses islah Sesudah Sedekad SBPISB untuk melangkah maju ke hadapan lagi.

Catatan Kuala Lumpur
5) Berbuka puasa dengan keluarga, di rumah lebih berkat daripada berbuka puasa dengan buayafriend/gelifriend anda walaupun di Pavillion.

6) Melepak lama-lama di pusat beli belah terkemuka tidak meningkatkan status sosial anda, bahkan mengurangkan wang saku sendiri.

7) Kita ini masyarakat sopan yang tersesat dalam pembangunan yang penuh biadap.

Sayang semuanya sudah mengecil!

8) MPH Mid Valley telah berpindah ke aras Lower Ground (LG) yang dipenuhi deretan kedai makan. Harapnya selepas orang ramai mengisi perut, lebih ramai yang singgah untuk mengisi minda hingga kenyang.

9) Pengangkutan awam ialah satu kewajipan pihak yang memerintah, bukan khidmat pengiklanan percuma untuk anda.

#sayahanyapemerhatisosialwahaipembacadanSBsekalian

Nota: Saya belum berkesempatan menatap antologi puisi guru-guru saya T_T

Muallim, Murabbi, Muaddib

Hari ini mungkin ada yang menitip ucap-ucapan manis (di laman sosial juga). Hari ini mungkin kereta-kereta cikgu penuh muatan hadiah pemberian dari murid. Masing-masing meluahkan kasih sayang dengan bahasa cinta tersendiri pada Hari Guru.

 Marilah kita menuturkan selawat cinta kepada kanjeng Nabi Muhammad. Bagindalah muallim, murabbi dan muaddib yang senantiasa ‘hidup’ dalam hati sekalian ummah.

Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa alihi wa as-habihi ajmain

Akhirnya Ku Temui…

“Awak masuk kelas 1 Hidayah ya,” arah cikgu Rozita yang kini bertugas di UMT.

Sesudah barang disusun di asrama, peluk dan cium perpisahan sementara dengan ibu bapa bermulalah lembaran hidup sebagai warga SBP. Murid tingkatan satu, ambilan kedua. Masih ‘hijau’ dengan segala budaya dan bahasa budak asrama.

Belum sempat berkenalan dengan rakan sekelas, sudah diarahkan cikgu Hasfarina sekali lagi membawa diri. Bukan dihalau, tetapi rakan-rakan menghadapi kertas terakhir ujian bulanan. Bahasa Jepun, dan segala aksara dan bunyi yang asing bagi saya waktu itu. Setelah segala keributan hari tersebut, akhirnya saya temui…

Baitul Hikmah!

Baitul Hikmah SBPI Sabak Bernam

Jalan jauh ke kutub khanah

Pusat sumber yang sederhana itu tempat saya jatuh cinta. Pada rak, lebih lagi buku-bukunya walau guru penyelia silih berganti. Cinta itu saya abadikan dalam coretan maya, tumbuh subur di laman Oh!Buku.

Takbir Pertama

Entah bila kesempatan itu datang lagi.

Syukur, Allah memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan meraikan Aidil Adha bersama di asrama.

Bukan darah, tetapi hati yang ikhlas dipandang Tuhan

“Hujung dunia!” sindir senior kami yang rata-rata berasal dari Lembah Klang. Hanya waktu cuti sekolah sahaja kami dapat merasa nikmat kota, menonton televisyen atau melayari internet tak ingat masa, berbanding duduk di ceruk desa yang aman ini.

Itulah pengorbanan, yang tidak kami fahami di bangku sekolah dan asrama dahulu. Waktu itu saya baru  di Tingkatan Dua, masih naif dan selalu menurut sahaja.

Pada hari istimewa itu, bersiap dengan pakaian yang segak kami keluar awal dari asrama. Surau As-Syakirin bukan destinasi pertama, sebaliknya mengucapkan selamat hari raya kepada pak guard yang setia di pintu pagar sekolah. Konon, mengikut sunnah Nabi berjalan berlainan haluan pergi dan pulang dari solat hari raya untuk bertegur sapa.

Mungkin itulah kali pertama saya mengetuai laungan takbir, walaupun tersalah silap dan terpaksa dibantu teks. Pada waktu itu, mungkin hanya suara dan lenggok takbir lebih penting dari ma’na takbir kepada empunya diri yang mengaku Muslim.

Boleh sahaja saya catatkan di sini menu sarapan yang istimewa kami makan pada pagi itu, atau berapa ekor lembu yang tumbang dikorbankan oleh para guru dan PIBG. Takbir pertama itulah yang menghantar saya jauh ke bumi orang.